CERITA RENUNGAN (2)
Author: ABD RAZAK BIN HASSAN // Category:Al kisah di dalam satu negeri hiduplah seorang raja yang mempunyai satu hobi yang pelik iaitu memelihara binatang berbisa. Di dalam kawasan istananya dibuat sebuah kolam untuk diletakkan pelbagai jenis binatang berbisa. Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya dan air kolam naik hingga hampir melimpah dari tebing. Raja berasa sangat suka hati dan menitahkan semua rakyatnya berkumpul di depan kolam tersebut. Maka berasak-asaklah seluruh rakyat negeri tersebut berhimpun di depan kolan tersebut. Raja kemudiannya menitahkan bahawa baginda ingin mencari seorang rakyatnya yang dianggap paling berani. Orang tersebut akan dihadiahi salah satu hadiah iaitu memberikan sebahagian harta baginda kepada orang itu atau memberikan separuh daripada negeri baginda kepada orang itu atau mengahwinkan orang itu dengan mana-mana puterinya yang jelita. Sekonyong-konyong habis bertitah, seluruh hadirin gempar apabila seorang lelaki tiba-tiba terjun ke dalam kolam dan berenang dengan secepat kilat ke hujung kolam tanpa dapat disengat oleh mana-mana binatang berbisa tersebut. Dengan tercunggap-cunggap orang itu datang menghadap raja. Raja tersenyum dan bertanya apakah hadiah yang dikehendaki oleh lelaki itu. Sama ada hartakah.... negerikah atau anakanda baginda. Orang itu mengucapkan terima kasih atas kurniaan baginda tetapi hendak akan hadiah yang lain daripada itu. Raja kehairanan dan bertanya apakah hadiah tersebut. Orang itu menjawab bahawa dia mahu baginda mencari siapakah yang menolaknya masuk ke dalam kolam tersebut. Akhirnya baru diketahui bahawa ada seorang manusia yang menolaknya sehingga jatuh ke dalam kolam tersebut. Akibat terdesak dan terperanjat, dia menggunakan segala ikhtiarnya untuk menyelamatkan diri. Fikirkanlah apa falsafah di sebalik cerita ini.
0 Responses to "CERITA RENUNGAN (2)"
Catat Ulasan